BESUT – Program Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang dirintis sejak dua tahun lalu berjaya melahirkan kanak-kanak yang mampu menghafaz 25 surah al-Quran sebelum melangkah ke alam persekolahan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Zairuddin Mat Zuini berkata, setakat ini, sebanyak 8,229 tabika Kemas seluruh negara telah menganjurkan program pra tahfiz berkenaan.
“Seramai 123,435 murid tabika Kemas seluruh negara terlibat dalam program pra tahfiz sepanjang sesi pembelajaran tahun ini.
“Program ini yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023 telah menampakkan kejayaan dengan kebanyakan anak-anak dapat menghafaz lebih 25 surah dalam tempoh setahun lebih,” katanya di Masjid Taman Ilmu, Tembila di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis Khatam Perdana Tabika Pra Tahfiz Kemas Terengganu melibatkan kira-kira 5,600 murid.
Zairuddin berkata, program pra tahfiz tersebut bakal diperluas ke 1,500 tabika Kemas di seluruh negara pada tahun hadapan.
Beliau berkata, murid tabika Kemas yang berjaya menghafaz sekurang-kurangnya 20 surah al-Quran akan dipelawa menyertai program Pelita sewaktu mereka melangkah di tahun satu kelak.
“Program Pelita kelolaan Kemas memfokuskan murid terbabit menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran pada usia 12 tahun.
“Sesi pengajaran secara bersemuka dan dalam talian dilaksanakan pada hujung minggu,” katanya.
Zairuddin berkata, murid yang berjaya menamatkan program Pelita kelak akan diberi keutamaan untuk memasuki tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab. – KOSMO! ONLINE















