fbpx
Mohamed Khaled pada sidang akhbar selepas meninjau aset-aset ATM yang akan digunakan pada persiapan Op Murni bagi menghadapi MTL 2025/2026 di Kem Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

Op Murni: 5,648 ‘hot spot’ banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,648 lokasi banjir telah dikenal pasti berada di bawah pemantauan Angkatan Tentera Malaysia menerusi Operasi Murni (Op Murni).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM mengaktifkan Op Murni sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka membawa risiko banjir besar di beberapa negeri menjelang hujung tahun ini.

Katanya, ATM telah melaksanakan gerak kerja awal termasuk pemetaan menyeluruh kawasan berisiko banjir menggunakan rekod kejadian lampau, data Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) serta laporan pegawai lapangan.

“Setakat ini, ATM mengenal pasti sebanyak 5,648 kawasan berisiko banjir di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat berkaitan Op Murni di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, bagi memastikan koordinasi lebih tersusun melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara, ATM telah melantik Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai pengelola operasi.

“Manakala, Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (Oplat TD) sebagai Point of Contact kepada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara).

“(Dan) melantik 15 orang Appointed Military Commander (AMC) yang terdiri daripada Panglima Divisyen dan Briged meliputi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Jelas Mohamed Khaled, Op Murni akan digerakkan menerusi empat fasa utama iaitu atur gerak awalan, operasi menyelamat, bantuan dan pasca banjir.

“Walaupun banjir belum berlaku, tentera sudah berada di lapangan untuk mengesan kawasan kritikal supaya tindakan awal dapat dilakukan tanpa melengahkan masa,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan di kawasan kritikal, beliau menegaskan bahawa ATM tidak bergantung pada arahan semata-mata.

“Apabila hujan dan air mula naik, tentera tidak akan tunggu. Kalau keadaan mengancam keselamatan rakyat, mereka terus ke depan untuk menyelamat,” katanya.

Ujarnya, ATM juga mempunyai pasukan simpanan yang sedia digerakkan sekiranya keadaan semasa memerlukan pertambahan kekuatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI