PETALING JAYA – Ramai pekerja sering mengalami keadaan yang mana mereka datang bekerja dengan penuh semangat pada awalnya, tetapi menjelang pukul 11 pagi, mata terasa berat, kepala lembik dan mula hilang fokus.
Menurut perkongsian Public Health (PHM) di Facebook, keadaan ini bukan disebabkan malas, sebaliknya ia cara badan bekerja dan memberi isyarat bahawa tubuh memerlukan rehat seketika.
PHM menjelaskan, antara faktor yang menyumbang rasa mengantuk pada pukul 11 pagi termasuk paras gula dalam darah mula menurun.
“Selepas sarapan, gula naik. Dalam dua jam, gula mula turun. Bila turun terlalu cepat, badan beri isyarat mengantuk. Sebab itu ramai rasa lesu sebelum lunch (makan tengah hari).
“Faktor kedua, kortisol pagi mula menurun. Waktu pagi hormon kortisol beri kita tenaga, namun pukul 10.30 hingga 11 pagi, paras hormon ini mula turun sedikit sekali gus membuat badan terasa lembap,” kata PHM.
Perkongsian itu turut menjelaskan antara faktor lain adalah perubahan pada otak yang mudah tepu kerana beban kerja.
“Pagi penuh dengan e-mel, mesyuarat dan perkara kecil yang menyedut tenaga mental. Walaupun nampak ringan, otak sudah bekerja keras sejak bangun. Masuk pukul 11 pagi, otak mula minta rehat.
“Pada masa sama ia dipengaruhi keadaan duduk terlalu lama kerana kurang bergerak membuatkan aliran darah perlahan. Apabila darah lambat naik ke otak, kita rasa mengantuk walaupun tidur cukup.
“Selain itu, kurang minum air dan berlaku dehidrasi. Air rendah buat otak hilang fokus dan badan terus rasa lembik,” katanya.
PHM menekankan bahawa mengantuk pada pukul 11 pagi bukan tanda pekerja itu tidak produktif, ia hanyalah signal kecil daripada badan agar diberikan rehat dan hidrasi yang cukup.
“Bangun sekejap, minum air, ambil udara, atau regangkan badan. Kadang satu minit pun cukup untuk hidupkan balik tenaga,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE














