CAMERON HIGHLANDS – Koloni warga asing yang memonopoli premis perniagaan dan kawasan pertanian di daerah ini selama bertahun-tahun akhirnya digempur penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) menerusi Ops Gempur hari ini.
Operasi selama tiga jam bermula pukul 11 pagi itu dibahagikan kepada empat zon dengan tumpuan kepada bangunan komersil yang dijadikan penempatan, tempat bekerja dan ladang.
Tinjauan mendapati koloni tersebut sebahagian besarnya terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang menetap, bekerja dan menguruskan aktiviti pertanian secara meluas.
Sebaik menyedari kehadiran anggota JIM, terdapat sebahagian pekerja asing melarikan diri termasuk memanjat bumbung bagi mengelak ditahan selain ada yang berpura-pura tidur dalam kereta.
Terdapat beberapa warga asing yang cedera ketika cuba meloloskan diri dan menerima rawatan kecemasan daripada petugas Kementerian Kesihatan. Antara yang ditahan ialah warga Bangladesh dikenali sebagai Sardar, 33, yang menyorok dalam tandas.
“Saya datang (Malaysia) empat bulan lalu…visa saya ‘mati’ bulan lepas. Saya bekerja sebagai buruh di kebun dengan upah sebanyak RM75 sehari,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh wartawan Kosmo!, ada warga asing membayar sebanyak RM12,000 kepada ejen di negara mereka untuk memasuki negara ini kerana kos sara hidup lebih rendah berbanding merantau di negara maju lain.
Sementara itu, pengusaha kebun, Khor Thiam Bee, 60, berkata, warga asing yang menetap di Cameron Highlands memonopoli perniagaan terutama di pasar malam.
“Susah kita (warga tempatan) untuk berniaga. Hampir semua pasar malam di sini dikuasai warga asing,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warga asing yang menetap di Cameron Highlands percaya kawasan tersebut tidak akan diserbu kerana lokasinya yang terletak jauh dari ibu kota.
“Mereka rasa mungkin penguat kuasa sukar untuk kejar mereka dan sebagainya. Jadi itu mungkin faktor (mereka tinggal beramai-ramai). Kita tidak berkompromi dengan usaha membawa masuk pendatang asing tanpa izin ke negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















