fbpx
Gambar hiasan

KKDW lantik konsultan nilai keberkesanan bekas tentera, polis jadi warden MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melantik pihak konsultan bagi menilai keberkesanan pelantikan bekas tentera dan polis sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, sekiranya keputusannya adalah baik, pelantikan bekas tentera dan polis sebagai warden asrama akan diselaraskan di 57 buah MRSM di seluruh negara.

“Projek rintis ini kita lakukan dalam enam bulan hingga Februari ini (2026) dan setakat ini keadaan di MRSM semakin bertambah baik serta menunjukkan hasil yang positif.

“Kita juga mengundang pihak-pihak ketiga seperti Majlis Peguam datang ke MRSM untuk mendedahkan aspek perundangan kepada anak-anak kita di MRSM supaya mereka lebih terdidik dan dalam masa dapat mengelakkan gejala yang kurang sesuai atau kurang sihat berlaku dalam MRSM,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) sejauh mana KKDW memastikan pelantikan bekas tentera dan polis sebagai warden MRSM disertai latihan psikologi serta pedagogi.

Terdahulu, Rubiah berkata, pelantikan bekas tentera dan polis sebagai warden MRSM dilaksanakan melalui projek rintis di MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu.

Menurut beliau, pelantikan warden terbabit dilaksanakan secara menyeluruh melalui saringan latar belakang, temu duga, latihan psikologi dan pedagogi serta pemantauan berterusan.

Jelas beliau, dua elemen yang dinilai dalam memilih warden berkenaan adalah berdisiplin dan ketegasan, bukannya kekerasan dalam usaha membentuk sahsiah yang lebih positif dalam kalangan pelajar.

Tambah beliau, pelantikan bekas tentera dan polis sebagai warden MRSM juga bertujuan mengelakkan beban berlebihan yang perlu ditanggung oleh para guru yang menjadi warden asrama.

“Guru (jadi warden asrama) hanya dapat elaun RM300, tetapi kerja dia 24 jam dari pukul 8 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI