PORT-AU-PRINCE – Haiti melakar kisah luar biasa dalam dunia bola sepak apabila menempah slot ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Nicaragua 2-0 semalam sekali gus menamatkan penantian 52 tahun sejak edisi 1974.
Lebih dramatik, kejayaan itu hadir meskipun ketua jurulatih mereka, Sebastien Migne tidak pernah menjejakkan kaki ke Haiti sejak dilantik 18 bulan lalu akibat konflik ganas yang melanda negara Caribbean itu.
Migne, 52, mengakui mustahil untuknya pulang ke Haiti susulan keadaan keselamatan yang tidak terjamin, memaksa pasukan itu bermain semua aksi di laman sendiri sejauh 500 batu di Curacao.
“Ia mustahil kerana terlalu berbahaya. Biasanya saya tinggal di negara tempat saya bekerja, tetapi kali ini tidak boleh. Tiada lagi penerbangan antarabangsa ke sana,” katanya sambil menjelaskan semua maklumat mengenai pemain tempatan hanya diperoleh melalui pegawai persekutuan menerusi telefon.
Sejak gempa bumi 2010, Haiti tenggelam dalam kancah keganasan dan kawalan kumpulan bersenjata, menyebabkan lebih 1.3 juta penduduk hilang tempat tinggal serta amaran perjalanan dikeluarkan kepada pelancong kerana risiko penculikan dan rusuhan.
Biarpun dibelenggu kekangan, Migne tetap berjaya membentuk skuad kompetitif yang kebanyakannya terdiri daripada pemain kelahiran luar seperti Jean-Ricner Bellegarde dari Wolves selain cuba memujuk penyerang Sunderland, Wilson Isidor yang memiliki darah Haiti.
Lebih separuh skuad tetap berasal dari Haiti, manakala selebihnya anak kepada pendatang Haiti di luar negara, menjadikan kejayaan itu simbol kebangkitan bola sepak mereka di tengah-tengah kekacauan negara.
Kemenangan ke atas Nicaragua mengesahkan tempat mereka di Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, hanya penampilan kedua selepas tersingkir pada peringkat kumpulan pada 1974. – AGENSI















