BEIJING – Beratus-ratus ribu tiket penerbangan dari China ke Jepun dibatalkan susulan laporan mengenai penangguhan pemprosesan visa ketika ketegangan antara dua gergasi Asia itu semakin meningkat, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Ketegangan tersebut dicetuskan oleh kenyataan dibuat Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi yang berkata, negaranya boleh terlibat secara ketenteraan sekiranya China cuba menceroboh Taiwan.
Kenyataan beliau mencetuskan kemarahan Beijing yang kemudian mengeluarkan amaran kepada pelancong dan pelajar negara itu supaya tidak mengunjungi Jepun.
Sekurang-kurangnya tujuh syarikat penerbangan China termasuk tiga milik negara berkata, mereka akan menawarkan pembatalan percuma kepada pelancong yang telah menempah penerbangan ke Jepun.
Seorang penganalisis penerbangan, Li Hanming berkata, data perlepasan menunjukkan kira-kira 500,000 tiket penerbangan ke Jepun telah dibatalkan antara 15 hingga 17 November lalu.
Jelasnya, ia merupakan pembatalan penerbangan besar-besaran terbesar yang pernah dilihat sejak awal pandemik Covid-19, tetapi mungkin memberi impak kecil kepada industri domestik China.
“Ini bukan kerugian besar bagi syarikat penerbangan kerana pasaran China-Jepun kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan pasaran domestik dan antarabangsa,” kata Hanming.
Saluran berita China, Jimu News melaporkan, Sichuan Airlines membatalkan semua penerbangan antara Chengdu dan Sapporo dari Januari sehingga akhir Mac depan.
Tambahnya, syarikat penerbangan kos rendah Spring Airlines turut membatalkan beberapa penerbangan ke Jepun.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu mengemukan alasan perancangan syarikat sebagai punca pembatalan.
China merupakan sumber pelancong kedua terbesar di Jepun, manakala pelajar dari negara itu membentuk sebahagian besar daripada populasi pelajar antarabangsa di Jepun.
Sementara itu, seorang pengendali sebuah agensi pelancongan China berkata, ia telah menghentikan pemprosesan permohonan visa individu untuk rakyat China yang mahu mengunjungi Jepun.
Saham syarikat-syarikat runcit dan pelancongan Jepun turut merudum Isnin lalu sebagai tindak balas terhadap langkah-langkah tersebut.
Laporan lain menyatakan beberapa acara kebudayaan antara Jepun dengan China turut dibatalkan, manakala penerbitan tinjauan tahunan antara rakyat dua negara itu dihentikan atas permintaan Beijing.
Pengedar-pengedar filem turut menunda tayangan tanpa had sekurang-kurangnya untuk dua filem Jepun di China.
Media kerajaan melaporkan, jualan tiket filem animasi Jepun yang telah ditayangkan, Demon Slayer: Infinity Castle merosot dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Agensi berita AFP semalam melaporkan, China akan menggantung import makanan laut Jepun ketika pertikaian diplomatik itu semakin meruncing.
Susulan tekanan daripada beberapa kumpulan perniagaan, Jepun telah menghantar seorang diplomat kanan ke Beijing sebagai usaha untuk meredakan ketegangan tersebut. – AGENSI














