PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.
Menurut Anwar, pertemuan itu bertujuan memperteguh tekad membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik, merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu.
Katanya, Malaysia menyambut baik kemajuan nyata termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat kedua-dua negara.
“Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara.
“Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia bersedia membuka akses produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan, selain menawarkan kepakaran penanaman sawit serta benih berkualiti.
Beliau turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia.
“Kami juga bersepakat memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, TVET (Pendidika Teknikal dan Latihan Vokasional) dan penyelidikan, di samping meneruskan sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui MTCP (Malaysian Technical Cooperation Program),” katanya.
Anwar juga menghargai sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara itu sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, satu pengiktirafan terhadap kepimpinan Ethiopia dalam agenda hijau global.
“Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















