PETALING JAYA – Pelakon Uqasha Senrose meminta individu terutama kaum wanita yang melalui nasib sama dengannya bangkit untuk keluar daripada kepompong penderitaan.
Tanpa berkongsi penderitaan yang dilalui secara terperinci, Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata, perkara pertama harus dilakukan terutama wanita mahu menyelamatkan diri daripaada perkahwinan memudaratkan.
“Kepada sesiapa nak nak jadi biskut bangkit, silakan.
“Kepada yang tahu dan alami, jangan takut macam saya dulu. Langkah pertama amatlah takut dan berat,” katanya dalam Instagram Story.
Dalam hantaran berbeza, dia berkata perceraian tidak diharamkan dalam agama sekiranya memberi impak negatif terhadap mana-mana individu yang melalui perkara tidak sepatutnya.
“Dalam Islam, bercerai itu tidak haram jika mendatangkn kemudaratan.
“Apa kemudaratan yang saya lalui?” ujarnya tanpa berkongsi lanjut mengenai pengalaman ‘ngeri’ yang dilalui sepanjang empat tahun berkahwin dengan aktor, Kamal Adli sehingga memberi impak terhadap kesihatan mentalnya.
Dia juga sempat menyangkal kenyataan Kamal semalam yang mengatakan tidak diberi peluang untuk bertemu dengan anaknya, Hawra Uqaira sebaliknya hanya ‘terjumpa’ pada 10 November lalu.
“Sekejap tak jumpa, sekejap berjumpa tanpa sengaja?
“Alhamdulilah saya dapat bersuara (semalam di mahkamah). Terima atau tidak terpulang,” jelasnya.
Semalam Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, memohon kepada Uqasha untuk memudahkan urusan dia berjumpa dengan Hawra sepanjang tempoh kes perceraian mereka.
Dakwa Kamal, dia sudah lama tidak bertemu dengan anak perempuannya.
Pun begitu, Uqasha menerusi peguam syarienya, Muhammad Syazmee Sapian menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu anak guamnya tidak pernah menghalang pertemuan Kamal dan anak mereka.
Tambahnya, Uqasha juga sangat memahami tanggungjawab Kamal sebagai seorang bapa terhadap Hawra.
Sebelum itu, Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali mengarahkan Uqasha dan kamal melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan tarikh 18 Disember depan sebagai tarikh pembentangan laporan bagi kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 19 bulan. – KOSMO! ONLINE















