fbpx
SZE FEI (kanan) dan Izzuddin bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 21-23, 21-17, 21-10 di pusingan kedua hari ini.

Kebangkitan DinFei ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia.

Pada aksi pusingan kedua di Olympic Boulevard, Sydney hari ini, bekas gandingan No. 1 dunia itu terpaksa bangkit daripada kekalahan awal sebelum menang 21-23, 21-17, 21-10 ke atas Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan.

Turun sebagai pilihan kedua, beregu yang diberi julukan DinFei itu tersentak seketika apabila tewas di set pertama biarpun pada awalnya mereka berada di depan sebelum dikejar lawan.

Pada set kedua, juara Terbuka India itu kembali memperkemaskan permainan bagi mencatat kemenangan 21-17, sekali gus mengheret pasangan Taiwan berkenaan untuk beraksi dalam set penentuan.

Momentum itu diteruskan dalam aksi set ketiga apabila langsung tidak memberikan ruang buat Kuang Heng-Po Han untuk merapatkan kedudukan sebelum melengkapkan kemenangan dalam tempoh 59 minit.

Pasangan profesional itu pastinya mahu mencatat keputusan terbaik pada Terbuka Australia untuk sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan terlepas slot ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan.

Sebelum ini, Sze Fei-Izzuddin bersaing dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi merebut satu lagi slot Malaysia ke WTF, namun kegagalan mereka menjuarai Kumamoto Masters di Jepun minggu lalu menutup terus peluang tersebut.

Sementara itu, hasrat perseorangan wanita, Wong Ling Ching untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Michelle Li tidak kesampaian apabila terpaksa akur tewas kepada pemain Kanada itu.

Ling Ching yang menang ke atas Li pada pusingan kedua Kumamoto Masters minggu lalu tidak dapat mengulangi pencapaian tersebut apabila tewas menerusi keputusan straight set 16-21, 11-21 dalam tempoh 35 minit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN