BANGKOK – Kapal penumpang Suea Dam Glow bocor di tengah laut ketika membawa kira-kira 97 penumpang menuju ke pulau Koh Kood di Thailand, lapor laman berita The Pattaya News hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira 18.5 kilometer dari Jeti Laem Sok, daerah Muang.
Pusat Pemerintah Penguatkuasaan Maritim Tentera Laut Diraja Thailand Wilayah 1 (Thai-MECC Wilayah 1) kemudian melancarkan operasi menyelamat kecemasan.
Kru kapal itu meminta sokongan kecemasan, khususnya pam air untuk mengawal kemasukan air laut.
Pusat pemerintah itu bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Maritim dan Komando Bersama Sivil-Tentera untuk Keselamatan Maritim bagi menghantar kapal tentera laut.
Tentera Laut Diraja Thailand menugaskan kapal HTMS Thepa dan bot-bot rondaan ke lokasi kejadian.
Operasi menyelamat tersebut dijalankan dengan kerjasama rapat Thai-MECC Wilayah 1, pihak berkuasa maritim serantau dan pasukan penyelamat tempatan.
Semua penumpang dilaporkan selamat.- AGENSI















