KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dipenjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah lapan pertuduhan rasuah RM1.77 juta berkaitan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan kes keraguan munasabah terhadap Mohd Saifullah Mohd. Minggu @ Mohd. Hisham, 34, di akhir kes pembelaanya.
Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Suzana menasihatkan supaya tertuduh insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
“Kamu masih muda dan saya berharap kamu benar-benar insaf dan akan berubah kepada yang lebih baik,” kata Hakim Suzana.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara enam tahun berjalan serentak bermula dari jatuh hukum hari ini.
Pada masa sama, sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, tertuduh boleh dipenjara selama tujuh tahun.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan panangguhan hukuman sementara menunggu rayuan selesai dengan syarat jumlah ikat jamin dinaikkan kepada RM280,000 melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain pasport diserah kepada mahkamah.
Semasa prosiding, peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan semasa kejadian anak guamnya bertugas sebagai setiausaha sulit kanan dan masih muda serta naif dalam hal ehwal politik.
“Tertuduh mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan masih boleh beri manfaat kepada masyarakat. Tertuduh adalah pesalah kali pertama, dan sepanjang lima tahun perbicaraan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik dan telah insaf,” katanya.
Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon hukuman berat kerana tindakan tertuduh bukan sahaja mencemarkan imej keluarga, tetapi telah memberi kesan langsung kepada kepercayaan masyarakat terhadap integriti dan ketelusan urus tadbir kerajaan.
“Sebagai setiausaha sulit kanan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (ketika itu) tertuduh sepatutnya menghargai masa depan, bukan terlibat dalam kegiatan rasuah. Kesalahan yang dilakukan melibatkan jumlah yang besar sehingga mempengaruhi tender dan keputusan,” katanya.
Mengikut lapan pertuduhan itu, Mohd. Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik sebuah syarikat melalui seorang individu sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative).
Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat itu Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 secara rundingan terus kepada sebuah lagi syarikat.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur dan Dengkil antara pukul 11 pagi hingga 11.30 malam, pada 21 Disemner 2018 hingga 1 Mac 2019.
Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd. Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE















