PETALING JAYA – Bercakap daripada pengalaman sendiri, pelakon Datuk Remy Ishak mendedahkan amalan mandi garam sebenarnya berupaya membantu menyingkirkan aura negatif dalam badan.
Ujar Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, amalan berkenaan sememangnya memberi banyak manfaat terutama buat dirinya yang sering dihantui kebimbangan berhubung penyakit ain atau penerimaan khalayak.
“Saya cakap berdasarkan pengalaman, kita pernah melalui penyakit ain kalau muncul di khalayak awam atau terlibat dengan dunia luar.
“Perkara itu biasa, secara saintifik, kalau kita banyak ion negatif, garam dapat membantu, sama ada kita minum atau mandi.
“Mineral garam memang perlu dalam badan dan secara saintifik pun terbukti,” katanya ditemui Kosmo! Online dilokasi penggambaran drama Sumpah Ibuku baru-baru ini.
Tambahnya lagi, amalan tersebut sering dilakukan bergantung kepada keperluan terutama ketika berada dalam tekanan, sama ada dalam pekerjaan atau masalah peribadi.
“Itulah amalan saya bila rasa stres. Kadang-kadang dalam media sosial orang tengok gambar bersangka tak baik pun boleh buat kita terkena benda-benda negatif.
“Buat rasa badan tak selesa tiba-tiba beremosi dan marah. Rasa tak menentu, bermakna ada sesuatu tidak kena. Cara terbaik adalah saya mandi garam.
“Saya tidak tahu orang lain, kalau saya ya, tenang. Lain orang lain cara, setengah orang telan panadol pun dah okey. Kalau saya sendiri, memang terbukti,” jelasnya.
Mengulas mengenai bagaimana mempelajari kaedah tersebut, Remy menjelaskan cara tersebut diberikan pakar ketika dirinya berdepan episod kemurungan sewaktu pandemik Covid-19.
“Dahulu ada satu masa waktu pandemik, saya mengalami kemurungan dan berjumpa dengan pakar psikiatri dan psikologi. Saya dapat tips ini daripada mereka,” tuturnya.
Sebelum ini, pelakon Zara Zya memuat naik hantaran dalam Threads berkaitan kewujudan aura negatif yang membuatkan seseorang terasa jauh dan sukar didekati.
Gara-gara hantaran terbabit, Remy menulis komen dengan mencadangkan agar rakan seperjuangannya itu mengamalkan mandian garam atau ais untuk membersihkan atau menjauhkan diri daripada anasir-anasir luar yang boleh menjejaskan kualiti hidup. – KOSMO! ONLINE















