HULU SELANGOR – Sebuah kenderaan perdagangan yang digunakan sebagai bas sekolah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Persiaran Kemboja, Bukit Sentosa, di sini semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata kenderaan itu ditahan pada pukul 12.19 tengah hari selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan serius ketika membawa seramai 19 pelajar.
“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 11 Disember 2020, ketiadaan insurans, pemeriksaan Puspakom tamat tempoh, tiada lesen memandu kelas CDL, tiada lesen PSV serta beberapa kesalahan teknikal lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrin berkata, pemandu merupakan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memandu bas tersebut sejak satu hingga dua tahun, memberikan alasan kenderaan itu baru dibeli dan tidak mempunyai masa untuk menguruskan pemeriksaan Puspakom serta dokumentasi lain.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, JPJ mengeluarkan sebanyak 13 saman atas kesalahan yang dilakukan dan kenderaan itu kemudiannya dibawa ke Stor Penyimpanan Kenderaan (SPK) Kalumpang untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, JPJ Selangor sentiasa komited terhadap setiap aduan diterima dan terus menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua kenderaan perdagangan mematuhi peraturan ditetapkan.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya melalui e-mel [email protected] atau platform aplikasi e-Aduan, lengkap dengan butiran pengadu dan butiran aduan. – KOSMO! ONLINE















