HUJUNG minggu lalu berlangsungnya Showcase Jiwa Malaysia yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Biarpun dengan deretan acara pada hari yang sama, perkara itu tidak menghalang keghairahan peminat untuk menonton showcase yang dianjurkan oleh Regnant Works.
Menampilkan barisan artis seperti Sixth Sense, Def Gab C, Kugiran Masdo, Floor 88, Baby Shima, dan Alpha ternyata formula penganjur menggabungkan pelbagai genre muzik menjadi apabila seramai 1,400 penonton hadir ke showcase berkenaan.
Kumpulan Alpha yang paling ‘muda’ ditampilkan sebagai pembuka pentas. Meskipun masih baru ternyata pengaruh mereka cukup kuat apabila peminat berpusu-pusu ke depan pentas sebaik pengacara mengumumkan nama mereka. Tiga lagu yang dinyanyikan mereka iaitu Monalisa, Bujang dan lagu viral P. Ramlee Saloma sudah cukup menggembirakan peminat pada malam itu.
Masdo tampil sebagai artis kedua yang mengadakan persembahan dengan menyampaikan enam lagu iaitu Begini Jadinya, Janji Manis, Teruna & Dara, Dinda, Malam Pesta Rock N Roll dan Bercanda Di Malam Indah.
Sudah biasa mengadakan konsert, Masdo dilihat bijak mengawal penonton dan persembahan mereka berjaya membuat penonton terhibur.
Malah, disebabkan lagu Masdo cukup mesra dengan penonton, kebanyakan lagu mereka dinyanyikan bersama-sama ibarat sesi karaoke.
Turut memberi persembahan yang memukau adalah kumpulan Floor 88 menerusi lima buah lagu iaitu Original Sabahan, F, Zalikha, Hutang dan Kongkalikong.
Sementara itu, Baby Shima menjadi satu-satunya bunga dalam showcase pada malam itu menerusi empat buah lagu iaitu Island Boi, Pap Pap, Stecu dan Emang Dasar.
Persembahannya yang menyajikan rentak dangdut malah siap bergelek di atas pentas berjaya menghidupkan suasana.
Kumpulan Def Gab C tampil mengambil alih pentas dengan membawa peminat bernostalgia dengan lagu-lagu ‘rock kapak’ mereka.
Walaupun peminat rata-ratanya generasi gen Z mereka tetap boleh melayan lagu Ibukota Cinta, Ampunkan Aku, Cinta Sakti dan Merah kerana lagu-lagu ini sering menjadi siulan ramai satu ketika dulu.
Selain itu, Def Gab C turut menyanyikan lagu Let Down yang dipopularkan oleh Radiohead. Paling dinanti-nanti sudah tentu band penutup iaitu Sixth Sense. Mendendangkan lagu-lagu wajib seperti Tanpa, Yang Sempurnakanku, Khatimah Cinta, Tak Bisa Memilihmu, Menyesal dan Hari Ini Dan Semalam, Sixth Sense berjaya menghiburkan penonton.
Tidak perlu terlalu banyak bicara, mereka yang sudah biasa mengadakan konsert dan persembahan berskala besar bijak mengawal turun naik ‘hype’ penonton.
Secara keseluruhan persembahan kesemua artis tiada kurangnya, namun salah satu masalah yang kurang memuaskan hati adalah kualiti bunyi yang adakalanya menenggelamkan vokal penyanyi.















