PETALING JAYA – Malaysia melihat potensi besar untuk menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan pasaran ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah strategik yang diyakini mampu mencetuskan peluang pertumbuhan baharu serta meningkatkan keterhubungan antara dua rantau utama dunia.
Anwar menegaskan perkara itu ketika mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf di ibu pejabat organisasi tersebut di Addis Ababa hari ini.
Menurut Anwar, penyambungan dua blok ekonomi besar itu bukan sahaja mampu merancakkan aliran perdagangan dan pelaburan rentas benua, malah memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui penciptaan peluang ekonomi yang lebih inklusif.
“Malaysia juga bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang yang selari dengan agenda pembangunan Afrika, termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, pembangunan infrastruktur mampan serta sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mahamoud Ali atas pelantikan beliau pada Mac lalu serta menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh jalinan strategik bersama negara-negara Afrika secara lebih terancang dan berpandangan jauh.
“Pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu menjadi pemangkin penting untuk memperluas jaringan kerjasama dengan negara-negara anggota Kesatuan Afrika.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan negara-negara Afrika berteraskan solidariti, persahabatan tulen dan semangat saling menghormati,” katanya. – KOSMO! ONLINE















