RABAT – Pemain pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi mengharungi tahun cukup cemerlang apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2025 dalam satu majlis yang berlangsung semalam.
Kapten Maghribi itu memastikan anugerah tersebut menjadi miliknya selepas mendapat undian tertinggi, sekali gus menewaskan bintang Liverpool, Mohamed Salah dan pemain Galatasaray, Victor Osimhen.
Hakimi berkata, gelaran itu merupakan satu penghargaan cukup tinggi buat dirinya selain menyuarakan hasrat untuk menjadi contoh kepada anak-anak muda yang berhasrat menjadi pemain bola sepak profesional.
“Bagi saya, ini adalah detik yang cukup bersejarah dan saya bangga untuk memenangi anugerah berprestij seperti ini. Sudah tentu ia akan menjadi malam yang akan dikenang seumur hidup.
“Trofi ini bukan sahaja untuk saya tetapi buat semua lelaki dan wanita di seluruh Afrika yang memiliki impian menjadi pemain bola sepak profesional. Terima kasih juga kepada semua orang yang sentiasa memberikan kepercayaan,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu mengharungi musim cukup cemerlang bersama PSG sepanjang kempen 2024/25 apabila berjaya membantu pasukan Liga Perancis berkenaan memenangi lima trofi, termasuk Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Bagi kategori wanita, Ghizlane Chebbak menjadi pemain wanita Maghribi pertama dipilih sebagai Pemain Terbaik Afrika selepas mengetepikan Sanaa Mssoudy (Maghribi) dan Rasheedat Ajibade (Nigeria). – AGENSI















