SEBERANG PERAI – Penghuni di dua buah kediaman teres dikejutkan dengan kejadian kebakaran di kawasan parkir rumah mereka di Taman Tokun Jaya, Bukit Mertajam di sini, awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu menyebabkan sebuah kereta hibrid model BMW X3 musnah dijilat api.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 2.42 pagi tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam yang diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan ll Mohd. Fahmie Mustafa.
“Kebakaran melibatkan dua unit rumah teres dua tingkat (kelas A) yang berlaku di bahagian garaj parkir dengan masing-masing anggaran peratusan kemusnahan adalah kira-kira 10 dan lima peratus.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis hybrid model BMW X3 yang berada di garaj dengan anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 60 peratus.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan dengan melibatkan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu.
“Api berjaya dipadamkan pada pukul 3.40 pagi tadi dan seterusnya kerja-kerja “overhaul” dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi.
“Komander Operasi melaporkan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.40 pag dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














