PETALING JAYA – Malaysia merekodkan 190,304 perkahwinan pada tahun 2024, meningkat sebanyak 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala penceraian meningkat 4.1 peratus kepada 60,457.
Menerusi laporan Perangkaan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan rujuk pada tahun lalu pula menurun 4.7 peratus kepada 5,563, berbanding 5,835 pada tahun sebelumnya.
Selangor mencatatkan bilangan rujuk tertinggi dengan 1,148, manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah terendah sebanyak 13.
Pada peringkat daerah, dua daerah di Selangor mencatatkan bilangan rujuk tertinggi iaitu Petaling (278) dan Ulu Langat (234), diikuti Seremban, Negeri Sembilan (196).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan perkahwinan direkodkan pada 2024 adalah 190,304, meningkat 0.9 peratus daripada 188,614 pada 2023.
Menurutnya, Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) kekal tidak berubah iaitu 5.6 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024, dengan perkahwinan orang Islam menyumbang 72.3 peratus daripada keseluruhan perkahwinan yang direkodkan.
“Namun, terdapat penurunan 1.8 peratus bagi perkahwinan orang Islam dengan 137,595 (2024) berbanding 140,176 (2023). Tiga negeri dengan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah Pahang (739: 9.3 peratus), Perak (598: 5.8 peratus) dan Johor (537: 3.1 peratus).
“Bilangan perkahwinan orang bukan Islam merekodkan peningkatan 8.8 peratus kepada 52,709 (2024) daripada 48,438 (2023). Tiga negeri
dengan peningkatan tertinggi perkahwinan orang bukan Islam adalah Johor (1,029: 14.7 peratus), Selangor (751: 6.9 peratus) dan Pulau Pinang (646: 19.3 peratus),” katanya.
Sementara itu, daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi orang Islam pada 2024 iaitu 7,150 diikuti Johor Bahru, Johor (6,801) dan Ulu Langat, Selangor (5,159).
Bagi orang bukan Islam, Johor Bahru, Johor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi dengan 4,055 diikuti Petaling, Selangor (3,865) dan Klang, Selangor (2,440). – KOSMO! ONLINE















