fbpx
Gambar hiasan.

50 peratus jemaah haji tolak tawaran kerana faktor kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Separuh daripada keseluruhan jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini terpaksa menolak tawaran tersebut disebabkan masalah kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, rekod Tabung Haji (TH) turut mendapati 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit TH mempunyai simpanan kurang RM1,300.

“Pada masa ini juga, sebanyak 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.

“Manakala, 50 peratus jemaah haji bagi 2025 yang terpilih menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan projek itu.

Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, TH ditubuhkan dengan dua matlamat utama iaitu sebagai institusi penabungan haji dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.

Katanya, hasil komitmen dan usaha keras setiap tahun meletakkan TH sebagai penyedia perkhidmatan haji yang diiktiraf terbaik di dunia melalui penganugerahan ‘Diamond Award Labaytum’ oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, katanya, peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan kerana kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik.

TH antaranya perlu berasing dengan unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta, maka inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan agensi itu sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.

“Matlamat inisiatif ini untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan pendeposit yang amat rendah. Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan, bukan secara organik,” katanya.

Justeru, katanya, TH mengambil langkah strategik peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

Jelasnya, peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama adalah RM5.9 juta atau RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.

Katanya, TH setakat ini membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa selari dengan tempoh masa yang dipersetujui.

“TH masih memperhalusi kerja-kerja lanjutan yang diperlukan bagi inisiatif peremajaan jenama dan ia masih belum dimuktamadkan.

“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga mengguna pakai peruntukan bajet tahunan sedia ada bagi
aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI