CAMERON HIGHLANDS – Seramai 468 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi besar-besaran menerusi Ops Gempur di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang disertai 547 pegawai dari seluruh negara itu dirancang sejak bulan lalu hasil aduan orang ramai berhubung lambakan warga asing di kawasan tersebut.
“Pihak kami memeriksa seramai 1,886 individu setakat pukul 2 petang tadi. Daripada jumlah itu, seramai 468 PATI ditahan untuk siasatan lanjut termasuk semakan kesahihan pas yang dibawa.
“Jumlah tangkapan itu termasuk dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Kesemua mereka dibawa ke depoh Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu.
Katanya, kebanyakan warga asing tersebut menggunakan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu dan siasatan lanjut termasuk menjejaki ejen yang mengeluarkan pas tersebut akan dilakukan.
“Saya beri amaran kepada majikan supaya berurusan dengan ejen berdaftar atau terus ke pejabat JIM bagi mengelak ditipu,” ujarnya.
Zakaria memberi turut amaran kepada semua warga asing bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan dan akan meneruskan operasi secara berterusan.
“Sejak Januari hingga 18 November lalu, seramai 83,994 individu telah ditahan di seluruh negara. Ini menunjukkan tindakan tegas diambil oleh pihak JIM dalam memerangi isu PATI,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















