LEIPZIG – Jerman mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk layak ke Piala Dunia selaku juara Kumpulan A selepas menewaskan Slovakia 6-0 dalam aksi kelayakan, awal pagi semalam.
Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann mengakui anak-anak buahnya mempamerkan prestasi sempurna dan sudah tentu boleh dilabel sebagai antara negara pilihan pada kejohanan berprestij bola sepak antarabangsa itu tahun depan.
“Saya rasa semua pemain telah memberikan komitmen penuh di atas padang dengan mempamerkan corak permainan agresif. Jika kita dapat kekalkan prestasi seperti ini, saya rasa kita adalah pasukan yang cukup bagus.
“Perlu diingat, kita masih lagi kehilangan beberapa pemain utama seperti Jamal Musiala dan Kai Havertz kerana kecederaan, tetapi dengan kekuatan penuh, kita boleh tewaskan mana-mana pasukan nanti,” katanya.
Pada aksi di Arena Red Bull itu, skuad Die Mannschaft berjaya meraih gol hasil penyudah berganda Leroy Sane dan satu gol sumbangan Nick Woltemade, Serge Gnabry, Ridle Baku dan Assan Ouedraogo.
Sementara itu, Nagelsmann turut menarik nafas lega apabila kapten pasukan, Joshua Kimmich kini berada pada prestasi terbaik selepas bebas daripada kecederaan yang dialami pada bulan lalu.
“Kimmich adalah pemain yang sangat penting dan berpengalaman untuk bantu pasukan tampil kompetitif di peringkat antarabangsa. Dia antara pemain terbaik Eropah yang memiliki kelebihan untuk lakukan hantaran tepat buat jentera serangan jaringkan gol,” katanya. – AGENSI















