AMSTERDAM – Naib juara dunia tiga kali, Belanda enggan sekadar menjadi ‘pelengkap jadual’ selepas meraih tiket automatik ke pentas Piala Dunia 2026 dengan menjuarai aksi kelayakan Kumpulan G zon Eropah awal pagi semalam.
Pada aksi terakhir kelayakan, skuad The Oranje tiada masalah besar untuk meraih tiga mata apabila berpesta gol menewaskan Lithuania 4-0 hasil jaringan Tijjani Reijnders, Cody Gakpo, Xavi Simons dan Donyell Malen.
Pengendali Belanda, Ronald Koeman mengakui masih terlalu awal untuk melakukan ramalan tetapi percaya pasukannya mempunyai kualiti untuk mencabar trofi berprestij itu buat kali pertama dalam sejarah.
“Saya tidak mahu buat ramalan tetapi buat masa ini pasukan kami sangat kompetitif kerana ada ramai pemain berkualiti.
“Namun, kita masih lagi belum sempurna kerana sepanjang kempen kelayakan kali ini, kita tidak beraksi dengan konsisten dan kelemahan itu perlu segera diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, Gakpo yang mewakili Liverpool, puas dapat menjaringkan gol dan berharap pasukan dapat tampil lebih hebat pada saingan bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tahun depan.
“Saya dapat rasakan Piala Dunia akan datang akan menjadi detik istimewa buat pasukan. Sudah tentu kita ada letakkan sasaran tinggi tetapi apa yang penting adalah pengalaman bersama pasukan ini,” katanya. – AGENSI















