fbpx
Siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke tempat kerjanya di Senawang.

Wanita maut dilanggar lori waktu tukar tayar kereta pancit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang wanita yang sedang menukar tayar kenderaannya yang pancit menemui ajal selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 260.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton X50 mengalami kecederaan parah di anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Azahar berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke tempat kerjanya di Senawang.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, kereta dipandu mangsa telah mengalami kerosakan iaitu tayar belakang sebelah kanan pancit dan telah memberhentikan keretanya di lorong kecemasan. Semasa sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun di lorong kiri telah bergesel dengan pemandu kereta tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diisiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakan sekerja mangsa, Nur Affiqah Jamran, 30, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, dia terkejut apabila menerima berita kemalangan rakannya itu dan menyifatkan wanita tersebut sebagai seorang sahabat yang baik dan mudah mesra dengan kawan-kawan.

“Sepatutnya ada mesyuarat dengan arwah pagi ini, tapi pelik juga tengok dia tidak sampai lagi ke pejabat sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan. Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia dan mayatnya telah ditutup dengan kain putih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN