MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim kini perlu memikirkan jalan terbaik tanpa kehadiran penyerang utamanya, Benjamin Sesko untuk tempoh hampir sebulan.
Sesko, 22, mengalami kecederaan lutut ketika United seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur pada 8 November lalu sekali gus terlepas mewakili Slovenia untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2025 baru-baru ini.
Difahamkan, United tidak meletakkan tarikh sebenar kepulangan penyerang yang dibeli dengan harga £73.7 juta (RM404.24 juta) daripada RB Leipzig itu, namun menjangkakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu terpaksa diketepikan.
Ini bermakna Sesko akan terlepas sekurang-kurangnya empat hingga lima perlawanan EPL bersama United menentang Everton, Crystal Palace, West Ham United dan Wolverhampton Wanderers ataupun Bournemouth.
Kini, Amorim perlu lebih kreatif merencanakan taktikal bagi menguatkan jentera serangannya sebelum Bryan Mbeumo dan Amad Diallo berlepas menghadapi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 yang akan membuka tirainya 21 Disember nanti.
Jadi Amorim perlu terus mengerah tenaga Mbeumo dan Matheus Cunha selain mengharapkan Joshua Zirkzee dapat meningatkan tahap permainannya sekali gus memberikan sesuatu kepada United.
Penyerang muda berusia 17 tahun, Chido Obi juga boleh kembali diletakkan dalam skuad utama selepas bekas produk Akademi Arsenal itu diarahkan beraksi dengan pasukan bawah 21 tahun.
Sebagai rekod, Sesko dikritik hebat oleh legenda United, Gary Neville kerana gagal bersinar apabila hanya meledak dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan daripada 11 perlawanan EPL musim ini. – AGENSI















