DALAM arus muzik yang semakin merentas sempadan, kolaborasi antara artis tempatan dan luar negara kini menjadi nadi segar yang memperkaya industri hiburan tanah air.
Kali ini, penyanyi rap SonaOne tampil dengan karya penuh emosi berjudul Polite, hasil kolaborasi istimewa bersama bintang pop-rap dari Vietnam, Tlinh.
Lagu yang ditulis SonaOne, Tlinh dan SYA serta diterbitkan sepenuhnya oleh SonaOne itu menjadi jambatan antara dua budaya menyatukan ritma dan rasa dalam satu alunan harmoni yang moden, lembut namun sarat makna.
Secara dasarnya, Polite mengetengahkan kisah tentang perasaan yang tidak terluah detik ketika cinta masih wujud, tetapi komunikasi semakin pudar.
Berkongsi mengenai kolaborasi tersebut, pemilik nama lengkap Mikael Adam Mohd. Rafee Michel Lozach itu mendedahkan bahawa idea asal lagu berkenaan tercipta sejak 2020 semasa tempoh pandemik.
“Saya sudah ada versi awal Polite sejak 2020 dan pernah merakam demo bersama penyanyi serta penulis lagu Malaysia, SYA. Saya sukakan lagu ini tapi belum jumpa arah yang sesuai sehinggalah pasukan A&R di Def Jam Malaysia mencadangkan Tlinh. Selepas beberapa kali ke Ho Chi Minh City, akhirnya semuanya menjadi kenyataan,” katanya.
Selaku penulis dan penerbit, penyanyi berusia 37 tahun itu mahu Polite hadir sebagai sebuah lagu yang sederhana tetapi menyentuh perasaan
“Saya mahu Polite terasa seperti ribut yang tenang minimalis, rapat dan digerakkan oleh bunyi 808 (berasaskan merujuk kepada bunyi bass yang mendalam dan berkuasa dari mesin dram elektronik Roland TR-808, yang telah menjadi ciri khas dalam genre muzik seperti hip-hop, trap dan EDM) seperti degupan jantung, seolah-olah menahan kata-kata yang ingin diungkapkan.
“Kalau lagu ini dapat membuat seseorang rasa kurang bersendirian, walaupun hanya selama tiga minit, bagi saya itu sudah satu kejayaan,” ujarnya.
Tlinh pula menyifatkan projek berkenaan membuka ruang eksperimen dengan bunyi baharu sambil mengekalkan kejujuran menyampaikan emosi.
“Apabila pertama kali dengar Polite, saya terus tertarik dengan ‘beat’ dan melodinya. Saya cipta bahagian saya berdasarkan naluri. Bekerja dengan SonaOne sangat mudah, dia penyokong yang baik dan memberi banyak galakan,” ujarnya.
Menariknya, video muzik rasmi Polite turut menjalani penggambaran di Ho Chi Minh City, menjadikannya pengalaman pertama SonaOne berkarya di bumi Vietnam.
Diterbitkan bersama pasukan produksi tempatan, video muzik tersebut menggambarkan konflik emosi antara kelembutan dan jarak, kejujuran serta keraguan selaras dengan inti hati lagu tersebut. Polite kini boleh dinikmati di semua platform muzik digital.














