GOMBAK – Insiden runtuhan struktur sementara ‘steel canopy’ di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam dipercayai berpunca daripada perlanggaran jentera skylift semasa kerja pemeriksaan ketebalan cat.
Malah, kerja berisiko tinggi tersebut telah dijalankan tanpa kebenaran bertulis (permit kerja) daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn. Bhd.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perkara berkenaan diperoleh hasil siasatan awal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Jelasnya, tindakan tegas termasuk mengeluarkan notis larangan bekerja telah dilakukan terhadap kontraktor yang terlibat.
“Kita nak adil kepada semua pihak. Sebab itu kita hentikan kerja terlebih dahulu dan mengeluarkan notis larangan bekerja kepada kontraktor utama.
“Banyak siasatan perlu dibuat sebelum kita boleh pastikan punca sebenar,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian.
Katanya, maklumat awal yang diperolehi juga menunjukkan kemungkinan insiden berkenaan berkait dengan pergerakan jentera skylift.
“Namun siasatan menyeluruh masih diteruskan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKKP untuk mengesahkan punca sebenar,” ujarnya.
Abdul Rahman berkata siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, termasuk meneliti reka bentuk struktur perlindungan sementara itu.
Beliau berkata, terdapat dua lagi struktur sementara seperti itu di kawasan berhampiran dan memaklumkan bahawa semua kerja melibatkan struktur tersebut diarahkan untuk dihentikan sementara waktu.
“Saya sudah arahkan JKR dan JKKP untuk melihat secara serentak semua struktur kerja yang sama bentuk,” jelasnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan, seorang pemandu kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaikinya dihempap runtuhan struktur sementara binaan ECRL di MRR2.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian itu melibatkan seorang wanita berusia 44 tahun berlaku kira-kira pukul 1.47 tengah hari.
Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. – KOSMO! ONLINE















