KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengeluarkan amaran kemungkinan banjir di 17 perkampungan di tiga daerah di negeri ini berikutan jangkaan hujan lebat berterusan selama tiga hari sehingga lusa.
Pengarah JPS Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, ia melibatkan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.
Beliau berkata, kesemua 17 lokasi yang berisiko banjir terbabit terletak di hulu beberapa lembangan sungai di negeri ini.
“Enam perkampungan berisiko di Hulu Terengganu ialah Kampung Lubuk Periuk, Kampung Peneh, Kampung Kuala Ping, Kuala Kepah, Kampung Nibong dan Kampung Kemat.
“Selain itu, ia turut melibatkan Kampung Keruak, Kampung Belaoh, Kampung La, Kampung Batu 13, Kampung Bekok dan Kampung Bukit Payong di Besut,” katanya di sini hari ini.
Osman berkata, daerah Setiu pula melibatkan Kampung Hulu Seladang, Kampung Besut, Kampung Padang, Kampung Lubuk Panjang dan Kampung Gong Terap.
Beliau berkata, penduduk perkampungan terlibat dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka dengan amaran semasa yang akan dikeluarkan pihak berkuasa.
“JPS Terengganu sedang mengaktifkan langkah kesiapsiagaan termasuk pemantauan paras air sungai dan penyelarasan dengan agensi berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














