MOSCOW – Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Rossiya Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang di Russia apabila salah satu penutup enjinnya tercabut, lapor akhbar Metro UK.
Pesawat jenis SSJ100 yang membawa 90 penumpang dan lima kru itu dalam penerbangan dari bandar Vladivostok ke Blagoveshchensk, Sabtu lalu.
Beberapa saksi memberitahu media tempatan bahawa sebahagian badan pesawat tertanggal semasa berada di udara.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan penutup logam enjin kanan pesawat hilang. Tiada kecederaan dilaporkan.
Pejabat Pendakwa Pengangkutan Timur Jauh Russia mengesahkan bahawa pesawat itu mendarat di Khabarovsk sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) akibat kerosakan teknikal. – AGENSI















