KUALA PILAH – Seorang pemandu lori maut, manakala, kelindannya parah apabila lori yang mereka naiki merempuh sebuah lori lain yang melintang di tengah jalan di Jalan Tampin-Karak berdekatan Taman Anggerik, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu melibatkan lori jenis Hino dari arah Klang menghala ke Muadzam Shah dan lori Isuzu dari arah bertentangan.
“Berdasarkan siasatan, lori Isuzu telah hilang kawalan dan melintang di laluan lori jenis Hino. Pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri lori melintang tersebut.
“Akibat dari kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ampuan Najihah, manakala kelindan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan masih dirawat di bahagian kecemasan hospital yang sama,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, susulan kejadian tersebut sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah serta Bahau dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan. – KOSMO! ONLINE















