fbpx
RAHIMI

Maghribi lebar rekod kemenangan ke-18

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGIER, Maghribi – Pasukan tempat keempat Piala Dunia 2022, Maghribi meneruskan rentak cemerlang apabila merekodkan 18 kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Uganda 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa awal pagi tadi.

Kemenangan ke-18 berturut-turut itu secara tidak langsung menyaksikan Maghribi kekal memegang rekod kemenangan terpanjang dalam sejarah bola sepak antarabangsa, mengatasi rekod lama iaitu 15 perlawanan dipegang Sepanyol dan Jerman sebelum ini.

Kemenangan di Grand Stade de Tangier itu menjadi persiapan terakhir buat Atlas Lions sebelum turun menghadapi saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) sebagai tuan rumah bermula 21 Disember hingga 18 Januari depan.

Berdasarkan prestasi semasa, Maghribi yang dibintangi limpahan pemain bintang, pastinya kekal menjadi antara pilihan utama dalam misi mereka menamatkan penantian 49 tahun selepas kali terakhir menjuarai AFCON pada edisi 1976.

“Kami merasai tekanan yang positif kerana seluruh penduduk Maghribi menyokong sama ada dari segi pembelian tiket atau mengikuti setiap perlawanan.

“Saya harap tiada perkara negatif terjadi dalam masa terdekat supaya prestasi ini dapat diteruskan untuk satu tempoh yang lama,” kata pengendali Maghribi, Walid Regragui.

Dalam aksi itu, Maghribi meraih gol pertama hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Uganda, Achai seawal minit kesembilan.

Pasukan No. 12 dunia itu menggandakan kedudukan tidak lama kemudian menerusi Ilias Saibari yang memanfaatkan hantaran daripada bintang Manchester United, Noussair Mazraoui.

Sepakan penalti Soufiane Rahimi pada minit ke-78 dan gol daripada Bila El Khannouss dua minit sebelum tamat memastikan kemenangan selesa Maghribi yang sepatutnya boleh menambah lebih banyak jaringan dalam aksi tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN