FLORIDA – Penyerang Inter Miami, Luis Suarez memberi gambaran tidak menggantung but dalam masa terdekat selain sedia untuk kembali beraksi dalam La Liga dengan menyertai pasukan lamanya, Barcelona.
Pemain Uruguay itu tampaknya tidak memiliki perancangan seperti rakan sepasukan, Sergio Busquets dan Jordi Alba yang sudah pun memikirkan persaraan sebaik sahaja kontrak bersama Inter Miami tamat.
Suarez berkata, Barcelona sentiasa berada dekat di hatinya dan sentiasa mengikut rapat perkembangan pasukan itu, lebih-lebih lagi dia masih memiliki sebuah rumah di kota Catalunya berkenaan.
“Ya, memang saya mengikuti perkembangan Barcelona, begitu juga dengan anak-anak. Bagi saya, pasukan ini berada sangat dekat di hati saya dan saya sentiasa berhubung dengan mereka setiap masa.
“Saya juga masih ada sebuah rumah di sana dan memang ada perancangan untuk kembali ke Barcelona. Mereka sudah memberikan segala-galanya untuk saya, jadi memang ada hasrat kembali,” katanya.
Pemain berusia 38 tahun itu turut menjelaskan, dia memiliki hubungan cukup baik dengan legenda The Catalans, Lionel Messi, namun tidak pasti sama ada pemain Argentina itu sedia kembali ke Camp Nou ataupun tidak.
“Kami memiliki hubungan cukup baik sama ada di dalam mahupun luar padang kerana sudah lama bermain bersama. Setakat ini, saya tidak tahu apakah perancangannya untuk masa depan,” ujar Suarez. – AGENSI















