PETALING JAYA – Jawatankuasa Rakyat Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan susulan pendedahan mengejutkan dalam keputusan penuh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Jawatankuasa Rakyat MCW dalam kenyataan berkata, keputusan FIFA setebal lebih 100 muka surat itu sebagai tamparan hebat terhadap integriti sukan negara apabila penemuan menunjukkan dokumen kelahiran datuk dan nenek pemain dipalsukan secara sistematik serta proses verifikasi yang didakwa dipintas.
Menurut MCW, FIFA menggunakan istilah keras seperti ‘gross negligence’, ‘lack of credibility’, ‘fabricated documents’, ‘undue sporting advantage’ dan ‘flawed victim narrative’, sekali gus menolak hujah pembelaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta pemain terbabit.
“Ini bukan lagi isu teknikal. Ini adalah pencabulan integriti negara yang memberi kelebihan sukan secara tidak adil, memalukan Malaysia di mata dunia dan menimbulkan keraguan terhadap proses naturalisasi,” kata kenyataan itu, hari ini.
MCW berkata, campur tangan segera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri perlu dilakukan berikutan beberapa persoalan serius yang didedahkan FIFA.
“Malaysia mesti kembali dihormati bukan kerana keputusan di padang semata-mata, tetapi kerana moral, integriti dan kejujuran pentadbir bola sepaknya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, FIFA mendedahkan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sepatutnya dihukum dengan lebih berat selepas mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib, September lalu.
Menerusi alasan bertulis yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA semalam, badan induk tersebut memaklumkan hukuman yang dikenakan ke atas FAM serta semua pemain telah menjadi salah satu agenda dalam proses prosiding yang dilakukan bulan lalu.- KOSMO! ONLINE














