fbpx
Nikita Lakubanets (kiri) dan Olga tidak dapat menahan kesedihan ketika bercerita tentang kejadian yang menimpa anak mereka, Vladimir.

Kanak-kanak warga Russia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Percutian suami isteri warga Russia di Langkawi berakhir dengan kisah menyedihkan apabila anak lelaki mereka yang berusia dua tahun meninggal dunia setelah disengat ubur-ubur, Sabtu lepas.

Kanak-kanak itu, Vladimir Lakubanets, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pukul 9.46 pagi tadi setelah menerima rawatan sejak 16 November lepas.

Bapa kanak-kanak itu, Nikita Lakubanets, 32, dari Khabarovsk berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi ketika dia dan isteri membawa anak mereka berjalan-jalan di pantai berdekatan Dataran Pantai Chenang. “Ketika anak mandi di pantai, tiba-tiba dia menjerit dan menangis. Isteri terus mendapatkan anak kami dan mendapati ubur-ubur besar menyengat kedua-dua belah kakinya. Isteri saya juga terkena sengatan ketika menanggalkan cengkaman ubur-ubur itu dari kaki anak saya.

“Saya berusaha memberikan CPR (bantuan pernafasan) kepada anak saya sebelum menghantarnya ke klinik dan kemudian kami dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut jurutera teknologi maklumat itu, anaknya kemudian dirujuk ke HSB keesokan harinya setelah keadaannya memburuk walaupun telah menerima rawatan awal pada hari kejadian.

“Saya diberitahu doktor anak meninggal dunia akibat keracunan daripada sengatan ubur-ubur tersebut yang mengakibatkan keadaannya kritikal,” katanya.

Bercerita lanjut, katanya walaupun amat bersedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka, mereka reda dengan ketentuan itu.

“Kami tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, cuma berharap pihak berkenaan melakukan sesuatu bagi mengelak insiden sama menimpa orang lain, seperti meletakkan papan tanda amaran tentang ubur-ubur ini. Itu termasuklah tindakan yang harus dilakukan apabila ada pengunjung disengat,” harapnya.

Sementara itu, menurut isterinya, Olga Lakubanets, 32, anaknya sangat teruja dan gembira apabila mereka tiba di Langkawi pada Jumaat lepas.

“Kami bertiga memang seronok sangat apabila dapat bercuti di Langkawi, apatah lagi anak saya yang tidak sabar untuk bercuti di sini,” katanya.

Tambahnya, mereka berharap dapat membawa pulang abu mayat anak mereka pada 26 November ini, iaitu tarikh sepatutnya mereka pulang ke negara asal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN