fbpx
SEKIAN lama tidak muncul dalam acara hiburan, tindakan Malique memuat naik tiket konsert GenKRU dan mengajak peminat menyaksikan edisi final konsert legenda rap tiga beradik itu Sabtu membikin teruja peminat.

Jumpa Sabtu ini – Malique ajak peminat ke konsert KRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sekali lagi mencetuskan tanda tanya, tindakan penyanyi, Malique Ibrahim memuat naik foto dua tiket Konsert GenKRU The Finale: One More Time membikin teruja dalam kalangan peminat.

Komposer tersohor yang lama hilang dari radar dunia hiburan seolah-olah memberi bayangan mahu bertemu orang ramai di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 22 November ini.

“Sudah agak lama. Jumpa anda Sabtu ini,” tulisnya ringkas Instagram.

Menerusi hantaran itu, pemilik nama sebenar Cairel Edrin Ibrahim itu berkongsi foto tiket konsert tersebut yang memperlihatkan dirinya bakal berada di zon berdiri.

Malah, Malique turut memaklumkan sudah agak lama juga dia tidak hadir ke acara seperti ini.

Perkongsiannya turut mendapat maklum balas seorang anggota KRU, Datuk Yusry Abdul Halim.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen teruja dengan perkongsian yang disifatkan sebagai peluang untuk
bertemu Malique di konsert itu nanti selain berharap idola mereka sepentas dengan KRU.

“Entah-entah KRU akan featuring dengan Malique,” kata seorang peminat.

“Tahu-tahu Abang Malique comeback dengan KRU. Satu stadium pasti akan gemuruh walaupun hanya cameo,” ujar netizen lain.

Begitupun, ada pemilik akaun Instagram yang menghormati pendirian penerbit album terkenal itu yang memilih menyepikan diri sebelum ini.

“Tak mengapa, berhiburlah. Takkan kami kejar fizikalmu. Kami cuma junjung karyamu,” tulis pengikutnya.

Terdahulu, selepas pembubaran Too Phat pada 2007, Malique bergerak solo dan tidak pernah muncul dalam mana-mana platform media termasuk media sosial.

Namun dia masih terus aktif menghasilkan lagu dan bekerja di belakang tabir sebelum membuka akaun Instagram di bawah nama
Malique Ibrahim pada Februari lalu yang diikuti lebih 35,000 orang dalam tempoh dua hari.

Sejak akhir-akhir ini, ramai yang meramalkan dia bakal membuat kemunculan semula malah menguatkan spekulasi apabila penganjur konsert, Iman Thang yang juga pengelola konsert Gen KRU The Finale turut dilihat beberapa kali berkongsi hantaran berkaitan Malique

Susulan itu, ramai membuat spekulasi Malique bakal membuat ‘comeback’ dan mengadakan konsert tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN