JAKARTA – Garis pantai Jakarta semakin jelas tenggelam di bawah paras laut, dengan air laut di Pantai Mutiara, Jakarta Utara kini lebih tinggi daripada daratan di sekitarnya, lapor portal berita Jakarta Globe.
Pemerhatian di lapangan Isnin lalu menunjukkan paras air laut di Pantai Mutiara melebihi ketinggian tanah berhampiran yang hanya ditahan oleh benteng. Tanpa benteng tersebut, air laut dijangka mengalih jauh ke kawasan pedalaman.
Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) berkata, beberapa bahagian di Jakarta kini tenggelam antara 10 sehingga 30 sentimeter (sm) setiap tahun yang didorong oleh pemadatan tanah semula jadi serta penggunaan air bawah tanah berlebihan selama beberapa dekad oleh rumah, perniagaan dan industri.
Kadar penurunan itu adalah antara terpantas daripada mana-mana bandar raya utama di dunia.
Seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Oseanografi BRIN, Johan Risandi berkata, paras air yang lebih tinggi di sepanjang pantai mencerminkan gabungan impak air pasang ekstrem, angin bermusim, ombak tinggi dan paling kritikal, penurunan tanah yang pantas.
“Lonjakan air pasang boleh berlaku dua kali dalam sebulan, manakala angin kencang akan menambahkan lebih banyak air.
“Namun, faktor utama adalah penurunan tanah. Di beberapa kawasan, tanah tenggelam sehingga 30sm setahun,” kata Johan.
Beliau menjelaskan bahawa tanah aluvium Jakarta yang lembut secara semula jadi akan memadat dari semasa ke semasa tetapi pengekstrakan air bawah tanah yang berlebihan masih diamalkan secara meluas. Ia berpunca daripada perkhidmatan air paip yang tidak mencukupi sekali gus mempercepatkan penurunan tanah.
“Pemadatan semula jadi ini diburukkan lagi dengan penggunaan air bawah tanah secara besar-besaran daripada isi rumah dan industri. Semakin banyak kita mengepam, semakin cepat tanah itu tenggelam.
“Tembok laut perlu dinaikkan secara rutin untuk menyamai kenaikan paras laut dan tanah yang tenggelam. Kita perlu mengira berapa banyak air meningkat akibat air pasang dan ombak untuk menentukan ketinggian yang sesuai,” katanya. – AGENSI















