SHAH ALAM – Pihak pembelaan ibu kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul memaklumkan wanita itu dalam keadaan baik sepanjang berada di Penjara Kajang.
Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata meskipun sedang berdepan dengan hukuman penjara sementara menunggu rayuan, anak guamnya itu tetap kuat dan sabar.
“Dia kuat…bersabar, dan dia faham proses undang-undang, ” kata Haresh ketika ditanya mengenai keadaan Ismanira sepanjang tempoh berada dipenjara yang dianggarkan selama 20 hari.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 Disember ini bagi pendengaran permohonan penangguhan hukuman Ismanira yang dipenjara lima tahun.
Menurut Haresh, pihaknya telah memfailkan permohonan penggantungan hukuman menerusi notis usul pada 4 november lalu yang mana permohonan itu dibuat sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman diputuskan nanti.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE















