GEORGE TOWN – Tempoh menunggu permohonan Rumah MutiaraKu (RMKu) kini dipendekkan kepada hanya tiga hingga enam bulan hasil beberapa langkah pemurnian data dan inisiatif proaktif yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Menurut Pengerusi Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo, penambahbaikan sistem permohonan serta pendekatan outreach secara berterusan memainkan peranan utama dalam mempercepatkan proses penawaran unit RMKu, terutamanya RMKu A dan RMKu B yang mendapat permintaan tinggi.
“Kita mengambil maklum berkaitan tempoh menunggu yang agak lama bagi mendapat tawaran
terutamanya bagi unit RMKu A dan RMKu B. Walau bagaimanapun, pada masa kini dengan beberapa inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan negeri, tempoh menunggu kini telah menjadi di antara tiga hingga enam bulan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sundarajoo berkata, pembersihan data besar-besaran dalam Sistem Maklumat Perumahan (SMP) turut membantu memperkemas senarai menunggu apabila ramai pemohon lama dikenal pasti tidak lagi layak, terutama disebabkan perubahan had pendapatan isi rumah. – KOSMO! ONLINE














