fbpx
Anggota polis membawa Muhamad Amirul Afiq (dua dari kiri) dan Muhammad Khairul Aziman di Mahkamah Majistret Bachok hari ini. FOTO TOREK SULONG

Dua sepupu didakwa belasah, aniaya beruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan dan bersubahat memukul selain menakut-nakutkan seekor beruk di Kampung Jembal dekat sini kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, dan sepupunya, Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Amirul Afiq didakwa dengan sengaja mendatangkan penganiayaan terhadap seekor beruk jantan berwarna coklat dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di tepi sebuah rumah kosong kawasan Kampung Jembal, Jalan Tawang di sini kira-kira pukul 6.30 petang pada 1 November lalu mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953.

Sementara itu, Muhammad Khairul Aziman dituduh bersubahat dengan Muhamad Amirul Afiq untuk mendatangkan penganiayaan terhadap haiwan tersebut dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di lokasi, masa dan hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin mewakili kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Disember depan untuk sebutan semula kes dan mereka membayar jaminan yang ditetapkan.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, dua lelaki dicekup selepas dipercayai melakukan penganiayaan terhadap binatang dengan membelasah seekor beruk di Kampung Jembal sehingga kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati rakaman tersebut dirakam oleh rakan pengadu sebelum dimuat naik ke media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN