KUALA LUMPUR – Peguam syarie kepada pelakon Uqasha Senrose, Muhammad Syazmee Sapian menafikan kebenaran dakwaan anak guamnya menghalang suami, Kamal Adli bertemu anak mereka, Hawra Uqaira.
Katanya, pertemuan Kamal dengan anak mereka pada 10 November lalu bukan berlaku secara kebetulan seperti didakwa, sebaliknya telah dirancang lebih awal bersama keluarga Uqasha.
“Bagi isu anak, pihak kami percaya bahawa sebenarnya perjumpaan sudah pun berlaku.
“Kamal sudah berjumpa anaknya siap pergi ke kedai kopi, bawa berjalan dan sebagainya pada 10 November baru-baru ini.
“Hakikatnya, perkara itu dibincangkan bersama adik Uqasha jadi mereka dibawa berjumpa di satu kedai kopi.
“Bukannya terjumpa, bukannya tak sengaja, bukannya tidak dirancang, memang dirancang untuk berjumpa dengan anak tersebut. Jadi, dakwaan bahawa tak bagi jumpa anak itu tidak betul. Hakikatnya, Kamal memang sudah berjumpa anak pada hari itu,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, pihak mereka tidak pernah menghalang Kamal daripada bertemu anak selagi dimaklumkan lebih awal bagi memudahkan perancangan kedua-dua pihak.
“Mengenai perancangan untuk Kamal berjumpa anak, tidak ada masalah.
“Kalau dia mahu hantar atau dimaklumkan lebih awal, kami boleh berbincang perkara itu sebab kita hormati kedudukannya sebagai bapa.
“Kami percaya anak perempuan memang ada ikatan dengan bapa, jadi tiada masalah selagi tiada halangan atau isu lain,” katanya lagi.
Hari ini, Kamal memaklumkan kurang meluangkan masa dengan anak dan merayu agar pihak isteri memberi kelonggaran untuk bersama puteri tunggalnya, Hawra.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE














