KETIKA Sukan SEA Thailand 2025 kian menghampiri, Olahraga Malaysia (MA) terus menjadi tumpuan apabila badan induk itu masih belum memuktamadkan senarai akhir atlet sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai persiapan skuad kebangsaan.
MA sebelum ini dijangka mengumumkan senarai berkenaan awal bulan ini, namun sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan.
Situasi itu turut dirasai pelari pecut wanita negara, Nur Aishah Rofina Aling yang mengakui dia masih menunggu jawapan sama ada namanya berada dalam senarai kontinjen ke Bangkok bulan depan atau sebaliknya.
Menurut Aishah, MA pada awalnya merancang mengeluarkan senarai akhir selepas Kejohanan Terbuka Malaysia pada Ogos lalu, sebelum menundanya ke Kejohanan Olahraga Innotex-BJSS yang berlangsung pada 7 hingga 9 November.
“Persiapan ke Sukan SEA setakat ini baik, mengikut perancangan jurulatih tapi sejujurnya kami masih belum dapat tahu tentang pengesahan sama ada kami terpilih atau tidak ke Sukan SEA.
“MA ada beritahu pemilihan terakhir pada Innotex tapi belum ada surat pengesahan yang mengatakan kami terpilih,” jelasnya.
Jelas Aishah, ketidaktentuan itu sedikit sebanyak menjejaskan fokus atlet yang kini sepatutnya memberi tumpuan penuh terhadap persiapan akhir ke temasya dwitahunan tersebut.
“Sejujurnya bagi kami mengganggu. Sepatutnya pada fasa ini kami hanya fokus untuk ke Sukan SEA tetapi disebabkan ada penukaran macam ini, kami perlu melakukan pengubahsuaian,” tambahnya.
Aishah muncul antara prospek utama negara bagi saingan di Thailand selepas merekodkan catatan tahunan terbaik 11.76 saat acara 100 meter ketika beraksi di Innotex. – KOSMO! ONLINE














