KUALA PERLIS – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup 34 tong berisi petrol dan diesel bersubsidi menggunakan dua sampan kayu semalam.
Dua sampan itu dikesan pada jarak 0.05 dan 0.07 batu nautika di selatan Pulau Ketam pada pukul 6.45 dan 6.50 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bot APMM yang melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 mengesan dua sampan tanpa nombor pendaftaran bersama enjin bergalah dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba meloloskan diri namun berjaya dipintas oleh bot APMM.
“Kedua-dua suspek bagaimanapun sempat melarikan diri di kawasan daratan berhampiran. Pemeriksaan mendapati sampan itu dipercayai berpangkalan di Pulau Ketam ditinggalkan tanpa pemilik.
“Setelah diperiksa, kita menemukan 570 liter petrol dalam 19 tong dan 450 liter diesel di dalam 15 tong. Setiap tong dianggarkan berisi 30 liter minyak,” katanya.
Beliau berkata, rampasan bernilai lebih RM40,000 itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki atau membawa keluar tanpa permit dan kebenaran pihak berkuasa.
Tambahnya, rampasan itu membuktikan APMM khususnya Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi yang menjejaskan hasil negara.
“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














