KUALA LUMPUR – Selepas lama membiarkan netizen berteka-teki, akhirnya pelawak Shuib mengesahkan bahawa isterinya, Watie Hanifiah kini sedang hamil lima bulan.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, selepas melalui episod duka apabila Watie mengalami keguguran pada Mei lalu , dia bersyukur dengan kehamilan kali kedua ini.
“Alhamdulillah seperti mana yang orang nampak dan cuba berteka-teka sebelum ini, Watie kini sedang hamil lima bulan.
“Untuk kehamilan kedua ini memang kami merancang dan alhamdulillah lekat. Watie pun mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak bekerja terlalu kuat seperti sewaktu kehamilan pertama sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Amad Dayyan, di sini, semalam.
Tambah Shuib lagi, sewaktu mengetahui bahawa Watie sedang berbadan dua, mereka sepakat untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan anak-anak dan keluarga.
“Memang saya tak beritahu anak-anak termasuklah ibu saya sendiri. Kami hanya dedahkan berita gembira ini sewaktu malam konsert akhir Talk To My Manager.
“Saya beritahu Thalita ketika di dalam bilik persalinan sebelum dia membuat persembahan. Saya mahu dia rasa gembira di malam konsert itu. Sebab itulah kalau anda lihat, wajahnya kelihatan berseri-seri pada malam itu,” jelasnya.
Dijangka bersalin pada April tahun hadapan, bagaimanapun, Shuib dan Watie masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi dalam kandungan.
Ditanya mengenai pilihan jantina, Shuib mengakui pada awalnya dia berharap mendapat anak lelaki agar Talitha kekal menjadi satu-satunya anak perempuan.
“Sekarang saya tak kisah, janji bayi sihat, itu sudah memadai,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Watie pada 23 Jun 2023.
Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 14, Dzahira Thalita Zahra, 12, Ariq Matin, 10 dan Ayash Affan, 4. – KOSMO! ONLINE















