fbpx
Gambar hiasan.

Ahli perniagaan tipu bon RM3.16 juta dibicara April 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan April depan untuk perbicaraan seorang bekas ahli perniagaan yang didakwa menguruskan kegiatan pasaran modal tanpa lesen, serta menipu berhubung skim pelaburan bon bernilai RM3.16 juta, lima tahun lalu.

Hakim Azrul Darus menetapkan perbicaraan selama sembilan hari terhadap Razrul Anwar Rusli, 45, bermula April tahun depan.

Tarikh-tarikh tersebut ialah pada 13, 14, dan 15 April; 7 dan 8 Mei; 15 dan 16 Jun; serta 10 dan 31 Julai 2026.
Terdahulu, Mahkamah membenarkan 10 pertuduhan terhadap bekas tunang seorang pelakon itu dibicarakan secara bersama.

Selain itu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hashley Tajudin dari Suruhanjaya Sekuriti mengesahkan pihak pendakwaan akan memanggil antara 20 hingga 26 orang saksi dan telah menyerahkan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Peguam bela, Tamara Anthony, mengesahkan penerimaan dokumen tersebut dan memberitahu mahkamah pihaknya juga bercadang untuk mengemukakan representasi berkaitan pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Januari 2026.

Mengikut pertuduhan, Razrul didakwa menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan beliau bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan tidak mendaftar bagi aktiviti tersebut.

Tertuduh didakwa menjalankan urusan itu di sebuah rumah di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 58(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Razrul juga berdepan lapan pertuduhan menipu lima individu dengan membuat representasi mengenai skim pelaburan bon patuh syariah yang dikenali sebagai Amal Trust, menyebabkan mangsa memindahkan wang berjumlah RM3.16 juta untuk tujuan pelaburan tersebut sedangkan representasi itu adalah palsu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Bandar Puchong Jaya, Pandan Indah, serta di Jalan Jelutong, Pulau Pinang antara Januari 2020 dan April 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 179(b) CMSA dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Razrul yang bukan pemegang lesen atau wakil perkhidmatan pasaran modal turut didakwa mempamerkan gelaran pematuhan undang-undang sekuriti di laman sesawang ‘Amal Trust’, yang mewujudkan kepercayaan bahawa beliau dilesenkan untuk berniaga dalam sekuriti sebagaimana dalam Jadual 2 CMSA.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 362(3) CMSA dan boleh dihukum di bawah Seksyen 372(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN