PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan berkata, amaran cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 7 malam ini.
“Antara kawasan yang dijangka terjejas di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Terengganu melibatkan Dungun serta Kemaman.
“Selain itu, di Pahang membabitkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan dan Bera, manakala keadaan cuaca buruk itu turut dijangka melanda Lembah Klang termasukl Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas MetMalaysia.
Amaran cuaca buruk itu juga dikeluarkan membabitkan Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Johor meliputi daerah Tangkak, Segamat serta Muar.
Seterusnya, hujan lebat petang ini dilaporkan tertumpu sekitar Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Sibu), Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Belaga), Miri (Telang Usan) dan Limbang di Sarawak turut terjejas.
Bagi negeri Sabah, hujan berterusan melanda Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dan Sandakan (Tongod) serta Labuan. –KOSMO! ONLINE















