fbpx
RIZANIZAM (kanan) dan Penolong Setiausaha Pendika, Mohd. Hamzatul Akmar Md. Zakaria menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Baru, Melaka semalam. - AMRAN ALI

Wartawan ‘diserang’, kena ugutan susulan buat laporan berita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) membuat laporan polis berhubung siri ugutan, cacian dan pendedahan maklumat peribadi yang diterima wartawan MalaysiaGazette susulan laporannya mengenai ‘guru silat’ yang didakwa melakukan amang seksual terhadap dua remaja.

Pengerusinya, Amir Mamat berkata, serangan itu disasarkan kepada wartawan Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 44, termasuk penyebaran gambar ahli keluarganya yang sekali gus menimbulkan risiko ancaman fizikal dan serangan siber.

“Mereka yang terlibat meninggalkan komen melampau, termasuk ajakan menyerang laman sosial mangsa secara berkumpulan, penghinaan dan fitnah kerana tidak berpuas hati dengan penggunaan tajuk ‘guru silat’ dalam laporan berita pada 5 dan 14 November lalu.

“Pendika berdiri teguh mempertahankan keselamatan ahli kami dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan ugutan, cacian dan makian terhadap wartawan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengamal media sentiasa berpegang pada etika kewartawanan serta melaporkan berdasarkan fakta sahih dan sumber berautoriti.

“Tindakan mereka juga telah mengganggu kebebasan media serta keselamatan pekerja dalam industri media di Melaka ini dan kami tidak akan berkompromi dengan sikap sedemikian.

“Susulan itu Pendika membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru pada pukul 11.59 pagi tadi,” ujarnya.

Sementara itu, Rizanizam berkata, ancaman diterimanya memberi tekanan besar kepada dirinya dan keluarga.

“Komen berbaur ancaman yang mengajak orang ramai menyerang saya jelas menimbulkan rasa tidak selamat. Penyebaran maklumat peribadi tanpa izin bukan sahaja mengaibkan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga,” katanya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN