PETALING JAYA – Niat awal hanya mahu menikmati makan tengah hari di atas bot sambil menunggu umpan disambar, namun lain pula yang jadi.
Itulah yang berlaku kepada sekumpulan pemancing apabila menyedari bot mereka sudah hanyut memasuki perairan Singapura.
Menerusi video TikTok dimuat naik @Fizreeajie dia dan kawan-kawannya dipercayai sedang leka menjamu selera ketika angin kuat dan arus deras mengakibatkan bot mereka perlahan-lahan bergerak jauh dari kedudukan asal.
Sekumpulan pemancing berkenaan hanya sedar sudah berada di perairan Singapura selepas didatangi sebuah bot pasukan polis negara itu yang memaklumkan mereka telah melepasi sempadan.
“Tengah sedap-sedap makan tengah hari atas bot, tak perasan bot dah hanyut masuk Singapura. Musim angin kuat sekarang, tak sedar bot gerak. Apa-apa pun polis Singapura beri layanan yang baik. Terima kasih, pegawai,” tulisnya.
Apa yang menarik perhatian adalah polis marin Singapura tersebut bertanya dalam nada baik sebelum meminta kad pengenalan masing-masing untuk membuat semakan.
Salah seorang polis marin tersebut juga memaklumkan, kejadian bot pemancing Malaysia masuk ke sempadan laut Singapura merupakan perkara biasa setiap hari.
“Kita kalau termasuk, kita tak ada masalah. Sebab ada sesetengah bot dorang lari apa semua. Tak ada apa-apa pun, kita nak ‘check’ sahaja.
“Macam korang termasuk dalam kita punya air (sempadan), jadi kita akan ‘check’ dan nasihat abang untuk keluar. Macam tu sahaja,” ujar polis marin tersebut.
Bukan itu sahaja polis marin itu sempat berseloroh bertanya sama ada lelaki-lelaki pemancing itu sudah berkahwin atau belum kerana mendapat ‘green light’ untuk pergi memancing.
“Ni dah kahwin ke belum dua-dua. Hebatlah bini kasi (pergi mancing). Bini saya lain bila saya kat pergi mancing, muka masam je. Saya selalu memancing dekat Endau hari tu ada pergi juga Desaru,” ujar polis tersebut.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen ramai yang memuji polis marin tersebut dan menasihati agar para pemancing berhati-hati untuk tidak masuk ke sempadan negara jiran.
“Percayalah ramai je orang-orang Melayu Singapura ni baik. Sama macam Malaysia. Jadi tak perlu lah kita nak kata mengata,” komen Jeeha.
“Polis Singapura kebanyakan aku jumpa memang semua ok. Tak ada lagi jumpa yang biadap,” komen Wan.
“Hati-hatilah bang lepas ni, jadikan pengajaran. Selagi boleh elak, kita elakkan. Sebaik polis Singapura baik, kalau dapat polis negara lain tu,” komen Haikal pula.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 854,900 tontonan, 35,900 tanda suka dan 1,693 perkongsian. – KOSMO! ONLINE
@fizreeajietgah sedap2 makan tgahari dekat atas boat, tak perasan boat dah hanyut masuk sngapore.. musim2 angin kuat ni.. tak sedar boat gerak mcm ketam🤣🤣.. apa2 pon police singapore beri layanan yg baik.. tq officer














