PETALING JAYA – Aksi sebuah kereta yang tiba-tiba bergerak sendiri ketika pemandunya turun dari kenderaan itu sewaktu berhenti di sebuah plaza tol menarik perhatian pengguna di media sosial.
Ia selepas klip video papan pemuka sebuah kenderaan yang merakam aksi tersebut tular di media sosial.
Berdasarkan klip video itu, kereta terbabit dipercayai bergerak sendiri selepas pemandunya turun dari kenderaan untuk menyelesai masalah semasa membayar tol.
Bagaimanapun pemandu kereta terbabit cuba menyelamatkan kenderaan yang sedang bergerak sendiri itu sebelum melanggar palang tol.
Difahamkan kejadian terbabit dirakam di sebuah plaza tol di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), namun tidak dapat bila kejadian tersebut berlaku.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna telah meninggalkan pelbagai komen termasuklah mengaitkan kejadian itu kecuaian pemandu.
“Perkara dah nak terjadi, boleh terlupa nak tarik handbrake (brek tangan) dan macam-macam, moga dia (pemandu) selamat,”komen Khadijah Jah.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ellyn Ramlee.
“TnG (Touch N Go) kad jatuh, dia lak lupa nak free gear n tarik handbrake, cecepat nak masuk, kaki tersalah pijak pedal minyak tu yang makin laju keretanya ke depan,”tulisnya.-KOSMO! ONLINE














