PETALING JAYA – Semua kerja pembinaan dihentikan serta-merta bagi melindungi keselamatan orang awam susulan insiden struktur sementara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghempap sebuah kereta di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berdekatan Plaza Tol Gombak hari ini.
Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam kenyataannya berkata, kejadian pada pukul 2 petang itu melibatkan runtuhan struktur sementara jenis ‘temporary steel canopy’ yang digunakan bagi kerja-kerja Road Under Bridge (RUB) 16 sebelum menimpa kereta Suzuki Swift milik orang awam.
Katanya, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi menyiasat punca kejadian.
Menurut MRL, pemilik kenderaan tersebut berada dalam keadaan selamat.
“Kerja-kerja pembukaan struktur sementara dan pembersihan di lokasi sedang dijalankan. Siasatan awal oleh jurutera ECRL mendapati struktur kekal RUB 16 berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak terjejas akibat insiden ini,” katanya.
Jelasnya, struktur tersebut dibina bagi menghalang serpihan pembinaan jatuh ke jalan raya selain memudahkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan RUB 16.
Tambahnya, pembinaan RUB 16 berjaya disempurnakan pada bulan lalu dan pihak berkuasa telah memberikan kelulusan untuk kerja-kerja pembukaan struktur sementara tersebut bermula 20 November ini.
“Pihak ECRL akan mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden ini. MRL turut merakamkan permohonan maaf dan menegaskan keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja projek adalah keutamaan kami,” ujarnya.
MRL dalam kenyataan sama turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi papan tanda trafik serta arahan pihak berkuasa di kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE















