PETALING JAYA – Gabriel Felipe Arrocha dilaporkan ‘tersalah cakap’ ketika dia ditemubual oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dengan isu pemalsuan dokumen babitkan tujuh pemain warisan negara.
Daripada perkongsian FIFA menerusi laporan bertulis setebal 63 muka surat itu. Arrocha atau dikenali sebagai Gabriel Palmero mencetuskan keraguan apabila tersasul dengan menyatakan datuk dan neneknya tidak dilahirkan di Malaysia.
“Berhubung ‘Player 1’, dia tidak dapat menyediakan salinan dokumen yang diserahkan kepada ejennya semasa makan bersama bapanya.
“Ini menyebabkan pemeriksaan hanya kepada (a) sijil kelahiran neneknya, Maria Belen Concepcion Martin, lahir pada 16 Mei 1956, yang dikemukakan oleh FAM dalam siasatan kelayakan, (b) sijil kelahiran yang diperoleh oleh pentadbiran FIFA dan (c) sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.
“Dalam hal ini, jawatankuasa menganggap kenyataan Pemain 1 semasa pendengaran adalah amat penting. Dia adalah pemain terakhir yang ditemu bual.
“Jawapan pertamanya kepada soalan mengenai tempat kelahiran neneknya ialah Sepanyol tetapi kemudian membetulkan dan menyatakan ‘Malaysia’.
“Kata-kata tepatnya ialah: “Datuk saya dilahirkan di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol… Maksud saya Malaysia, maaf”,” jelas FIFA. – KOSMO! ONLINE














